Cikgu Norzlina

Monday, 7 November 2011

BIDALAN

Ada gula ada semut
i. Di mana ada dara jelita di situlah ramai teruna. ii. Di mana mudah mencari rezeki di situlah terdapat orang ramai mencari.
Contoh: i. Memang di kedai Pak Mud itu ramai pelanggan, maklumlah ada gula adalah semut. ii. Negara kita ini umpama ada gula ada semut, itulah sebabnya ramai pendatang asing di sini.


Ada padi semua kerja jadi, ada beras semua kerja deras
Segala kerja ditanggung siap jika ada upah.
Contoh: Bangunan sepuluh tingkat yang dibina oleh hartawan itu cepat siap, bak kata bidalan, ada padi semua kerja jadi, ada beras semua kerja deras.


Ada periuk berkerak, ada lesung berdedak
Mempunyai harta yang tidak pernah habis.
Contoh: "Pak Haji Daing itu hartanya tidak habis hendak dimakan kerana dia seorang hartawan", bak kata bidalan, ada periuk berkerak, ada lesung berdedak.


Ada ubi ada batas
Ada budi ada balas.
Contoh: Kalau kita menerima pertolongan daripada seseorang, jangan lupa bahawa dalam hidup ini ada ubi ada batas.


Ada udang di sebalik batu
Berbudi dengan ada tujuan tertentu.
Contoh: Berhati-hatilah apabila menerima pertolongan daripada seseorang kerana mungkin ada udang di sebalik batu.


Air ditetak tidak akan putus
Perkelahian antara saudara akhirnya berbaik semula.
Contoh: Pergaduhan antara Azmi dengan Azman itu sekejap sahaja, bak kata bidalan, bagai air ditetak tidak akan putus.


Air orang disauk, ranting orang dipatah, adat orang dituruti
Undang-undang hendaklah dipatuhi walau di mana kita berada.
Contoh: "Walau di mana kamu berada, ingatlah bahawa air orang disauk, ranting orang dipatah, adat orang dituruti," begitulah pesanan ibunya.


Air tenang jangan disangka tiada buaya
Jangan disangka orang pendiam itu tidak berbahaya.
Contoh: Kamu hendaklah berhati-hati apabila berjumpa Pak Ali kerana air yang tenang jangan disangka tiada buaya.


Alah bisa tegal biasa
Pekerjaan yang susah menjadi senang apabila selalu dibuat.
Contoh: Walaupun perkara itu sukar hendak dilakukan tetapi kalau sudah biasa tidaklah menjadi susah lagi, bak kata bidalan, alah bisa tegal biasa.


Alah jadi abu, menang jadi arang
Dalam suatu perbicaraan, kalah dan menang sama-sama menanggung rugi.
Contoh: Perkara itu kalau dibawa ke mahkamah sekalipun tidak mendapat faedah kerana alah menjadi abu, menang menjadi arang, kata Mahmud kepada Yusoff.


Alah membeli menang memakai
Membeli barang yang bermutu tinggi nilainya tetapi nilainya tahan lama.
Contoh: Biarlah mahal harganya asalkan selesa memakai, bagai kata bidalan, alah membeli menang memakai.


Alah pinta buat sempena
Sesuatu kejadian ada sebab-musababnya.
Contoh: Anggaplah kejadian lalu itu sebagai alah pinta buat sempena dan terima sahaja dengan hati yang terbuka.


Alang-alang mandi biarlah basah
Membuat sesuatu pekerjaan biarlah ada kesudahannya.
Contoh: Teruskan kerja-kerja kamu itu, alang-alang mandi biarlah basah, barulah dapat tahu hasilnya, kata Janet.


Alur bertempur, jalan berturut
Membuat sesuatu perkara hendaklah mengikut peraturan dan panduannya.
Contoh: Kalau hendak membuat sesuatu perkara biarlah ada peraturan, bak kata bidalan, alur bertempur jalan berturut.


Baik buat teladan, buruk buat sempadan
Perbuatan yang baik boleh diikuti, perbuatan yang tidak elok hendaklah dibuangkan.
Contoh: Kamu pergilah dengar ceramah itu, jika baik buat teladan, buruk buat sempadan, nasihat ibunya.


Bawa rasmi padi, semakin berisi semakin tunduk
Semakin berilmu semakin merendahkan diri.
Contoh: Kamu ikutlah rasmi padi, semakin berisi semakin tunduk, Mak Leha menasihati anaknya.


Belakang parang diasah lagikan tajam
Orang yang bodoh jika diajar akan menjadi pandai pada akhirnya.
Contoh: Belakang parang diasah lagikan tajam, inikan pula anak kamu yang belum tahu cerdik bodohnya itu, kata Pak Syukri kepada Kamil.


Belum duduk sudah berlunjur
Membuat sesuatu perkara tidak mengikut peraturan.
Contoh: Kamu membuat kerja ini seperti belum duduk sudah berlunjur, itulah sebabnya tidak berjaya, kata Encik Faruk.


Benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau
Orang yang berilmu ke mana sahaja tetapi dihormati orang.
Contoh: jadilah orang yang berilmu kerana ke mana pergi kamu tetap menjadi seperti benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau.


Berani kerana benar, takut kerana salah
Tidak perlu bimbang dan takut jika tidak mempunyai kesalahan.
Contoh: Kamu tidak perlu takut, jika kamu tidak membuat kesalahan, bagai kata bidalan berani kerana benar, takut kerana salah, kata Ramli

1 comment: