Bagai air titik ke batu
Orang yang bodoh susah untuk menerima sesuatu pengajaran.
Contoh: Mengajar kamu ini bagai air titik ke batu kerana sudah beberapa kali saya ajar mengenal huruf-huruf, tetapi masih juga tidak dapat.
Bagai anjing melintang denai
Seseorang yang sombong menunjukkan kesombongannya.
Contoh: Pak Malim bertambah sombong sekarang semenjak anaknya mendapat jawatan tinggi di pejabat kerajaan.
Bagai anjing tersepit di pagar
Keadaan serba salah.
Contoh: Pemuda itu kelihatan bagaikan anjing tersepit semenjak rahsia perbuatan jahatnya terbongkar.
Bagai anjung berat sebelah
Sesuatu keputusan yang tidak adil.
Contoh: Mereka tidak berpuas hati kerana Tok Ketua membuat keputusan bagai anjung berat sebelah.
Bagai api dengan asap
Tidak dapat dipisahkan.
Contoh: Persahabatan Mamat Cicak dengan Deraman Tapung sungguh akrab bagaikan asap dengan api.
Bagai api dengan sabut
Bahaya mudah berlaku di atas orang yang lemah.
Contoh: Kami orang yang lemah mudah sahaja mendapat kesusahan tidak ubah bagai api dengan sabut.
Bagai api makan dalam sekam
Kejahatan berlaku dalam keadaan senyap.
Contoh: Sekarang baru kita tahu bahawa pemuda itu bagai api makan sekam kerana nampak sahaja baik, tetapi rupa-rupanya dia pengedar dadah.
Bagai aur ditarik songsang
i. Membuat kerja tidak mengikut peraturan. ii. Menyuruh orang malas menyiapkan kerja.
Contoh: i. Majid menghadapi kesukaran untuk menyiapkan kerjanya kerana dia membuat kerja bagai aur ditarik songsang. ii. Segala kerja tidak akan siap jikalau diberikan kepada orang yang bekerja bagai umpama aur ditarik songsang
Bagai ayam ditambat disambar helang
Tunang / isteri yang dirampas / dilarikan oleh orang berkuasa / orang jahat / zalim.
Contoh: Encik Johan berasa sedih kerana kekasihnya dirampas orang dengan tiba-tiba bagai ayam ditambat disambar helang.
Bagai ayam lepas bertaji
Serba salah hendak menolong orang yang garang / bengis.
Contoh: Pak Haji Itam terjatuh ke dalam parit dan saya rasa serba salah hendah menolongnya bagai ayam lepas bertaji kerana dia seorang yang bengis.
Bagai ayam mengeram telur
Muka perempuan yang merah dan berseri.
Contoh: Mak cik Ton itu sejak muda-muda lagi memang cantik kerana mukanya bagai ayam mengeram telur.
Bagai bulan dipagar bintang
Kecantikan gadis / wanita tiada bandingannya.
Contoh: Zaleha memang terkenal sebagai anak gadis yang paling cantik di kampung kerana dia bagai bulan dipagar bintang.
Bagai isi dengan kuku
Persahabatan yang tidak pernah berpisah.
Contoh: Persahabatan antara Amran dengan Hamid bagai isi dengan kuku kerana mereka bersahabat baik sejak kecil lagi.
Bagai kacang lupakan kulit
Orang tidak tahu mengenang budi / asal usulnya.
Contoh: Dia betul-betul bagai kacang lupakan kulit kerana berpura-pura tidak ingat akan pertolongan saya.
Bagai kambing dijunjung
Orang penakut menjerit ketakutan.
Contoh: Mariam menjerit bagai kambing dijunjung kerana menyangka kain putih itu hantu.
Bagai kerbau runcing tanduk
Terkenal kerana kejahatan.
Contoh: Orang kampung sudah kenal Mat Jusuh itu bagai kerbau runcing tanduk.
Bagai kumbang putus tali
i. Terlepas daripada kesengsaraan. ii. Pergi tidak balik-balik lagi. iii. Membuat kerja dengan pantas.
Contoh: Mail berasa dirinya bagai kumbang putus tali sesudah bebas dari penjara.
Bagaimana gendang, begitulah tarinya
Ikut perintah.
Contoh: Sekarang kamu berkerja di pejabat ini dan kamu mesti patuh pada peraturan kerana bagaimana gendang, begitulah tarinya.
Bagai menatang minyak yang penuh
Memelihara anak dengan penuh kasih dan jagaan teliti.
Contoh: Rahim dan isterinya menjaga anak bagai menantang minyak yang penuh.
Bagai nangka masak gugur
Suatu bunyi orang gemuk jatuh.
Contoh: Lelaki gemuk itu jatuh dari tangga bagai nangka masak gugur.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
boleh la boleh la
ReplyDeleteboleh la boleh la
ReplyDelete