Cikgu Norzlina

Monday, 7 November 2011

PEPATAH

Ada air adalah ikan
Rezeki ada di mana-mana.
Contoh: Kamu harus gigih mencari rezeki kerana ada air adalah ikan.


Ada bau adalah bangkai
Setiap berita ada betulnya.
Contoh: Saya percaya berita yang tersebar itu betul, bak kata pepatah, ada bau ada bangkainya.


Ada gigi dengan lidah sahaja
Hanya bercakap sahaja.
Contoh: Kata-kata Malik itu bukanlah boleh dipercayai sangat kerana dia hanya ada gigi dengan lidah sahaja.


Ada gula, adalah semut
Di mana ada rezeki di situ ramai orang.
Contoh: Penduduk di Serenting bertambah ramai sekarang, semenjak projek tanam kelapa sawit berhasil, bak kata pepatah, ada gula ada semut.


Ada hari, ada nasi
Selagi hidup tentu ada rezeki.
Contoh: Rajin-rajinlah berusaha kerana ada hari, ada nasi.


Ada hujan ada panas, ada hari boleh balas
Perbuatan yang jahat akan menerima balasannya pada suatu hari nanti.
Contoh: Perbuatan Mail menebas anak-anak pokok getah saya adalah perbuatan khianat, namun dia lupa ada hujan ada panas, ada hari boleh balas. 


Ada kemenyan sebesar lutut, tidak akan dibakar tidak akan berbau
Tiada gunanya mempunyai ilmu jika tidak disebar kepada orang lain.
Contoh: Walaupun mempunyai ilmu agama yang banyak, tidak berfaedah jika tidak disebarkan kepada orang lain, bak kata pepatah, ada kemenyan sebesar lutut, tidak dibakar tidak akan berbau. 


Ada padi semua jadi, ada beras semua deras
Jika ada wang mencukupi, semua kerja dapat dilaksanakan dengan segera.
Contoh: Rumah Haji Rahmat cepat siap walaupun besar, maklum sahajalah orang berharta, bak kata pepatah, ada padi semua jadi, ada beras semua deras.


Ada pasang,ada surut
Ada untung ada malang.
Contoh: Dalam hidup ini ada kala dapat rezeki banyak, ada kala tiada langsung, bak kata pepatah, ada pasang, ada surut.


Ada rupa, ada harga
Barang yang cantik tentunya mahal.
Contoh: Baju itu mahal harganya kerana ada rupa, ada harga.


Ada sampan hendak berenang
Sengaja mencari kesukaran, sedangkan cara mudah ada terbentang.
Contoh: Ramu sengaja mencari masalah dalam masalah itu dan sekarang dia terpaksa menanggung akibat buruknya, bak kata pepatah, ada sampan hendak berenang.


Adat air cair, adat api panas
Sifat semula jadi sesuatu.
Contoh: Laut memang ada pasang surutnya, bak kata pepatah, adat air cair, adat api panas.


Adat dipakai baru, kain dipakai usang
Adat yang baik jika diikuti akan mengangkatkan darjat orang yang mengikutinya.
Contoh: Buatlah kenduri kesyukuran kerana kamu sudah berjaya mendapat kerja itu, bak kata pepatah, adat dipakai baru, kain dipakai usang.


Adat tua menahan ragam, adat muda menahan rindu.
Apabila sudah tua, selalu sakit hati melihat perangai anak cucu.
Contoh: "Sakit hati aku melihat perangai anak cucu ini tetapi apa boleh aku buat, bak kata pepatah, adat tua menahan ragam, adat muda menahan rindu," kata Wak Deraman.


Ada udang di sebalik batu
Ada maksud tersembunyi.
Contoh: "Ayah rasa kebaikan pemuda itu ada tujuan yang tersembunyi, bak kata pepatah, ada udang di sebalik batu," kata Encik Hamid.


Air beriak tanda tak dalam
Orang besar cakap kurang ilmunya.
Contoh: Saya faham benar perangai dia suka bercakap besar itu, maklumlah orang tidak berilmu, bak kata pepatah, air beriak tanda tak dalam.


Air dicencang takkan putus
Hubungan keluarga tidak dapat diputuskan.
Contoh: Perkelahian mereka antara keluarga itu tidak berpanjangan, bak kata pepatah air dicencang takkan putus. 


Air digenggam tiada tiris
Kedekut.
Contoh: Pak Haji Dollah memang kedekut, bak kata pepatah, air digengggam tiada tiris.


Air diminum rasa duri, nasi dimakan rasa sekam.
Terlalu sedih.
Contoh: Cikgu Halim sangat bersedih hati, bak kata pepatah, air diminum rasa duri, nasi dimakan rasa sekam kerana tiga orang anaknya meninggal dunia dalam kemalangan itu.


Air keruh limbat keluar
Andai ada huru-hara, orang jahat mencari untung.
Contoh: Semasa kampung kami bergelap kerana bekalan elektrik terputus baru-baru ini, beberapa kejadian kecurian berlaku, bak kata pepatah, air keruh limbat keluar. 

No comments:

Post a Comment